Friday, 9 December 2011

Bahasa Melayu : Kemahiran Mendengar

PENGENALAN
Secara umumnya lisan merupakan aspek kemahiran bahasa yang penting dan utama. Aspek ini merupakan aspek asas bagi bahasa pertama yang dikuasai oleh seseorang kanak-kanak yang normal sebelum mempelajari kemahiran membaca dan juga menulis. Secara konsepnya, kemahiran mendengar adalah kebolehan murid-murid mendengar dengan teliti, memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan dan juga dapat memberikan maklum balas. Manakala kemahiran bertutur pula merupakan kebolehan murid-murid berbual untuk menjalinkan hubungan serta menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan serta idea yang kreatif dan juga kritis dengan menggunakan sebutan dan intonasi yang betul secara bertatasusila. Di samping itu juga, penekanan diberikan kepada penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang bersesuaian.

Kemahiran mendengar merupakan salah satu kemahiran bahasa yang penting serta perlu dipelajari secara intensif terutamanya ketika murid-murid berada di sekolah rendah lagi. Aktiviti mendengar merupakan aktiviti yang terpenting untuk dikuasai kerana penggunaannya yang begitu meluas di dalam kehidupan. Ekoran daripada itu, dianggarkan lebih kurang 60 peratus daripada masa yang digunakan adalah untuk mendengar. Jadi, disebabkan itulah murid-murid di bangku sekolah rendah lagi perlu memiliki kemahiran ini dengan berkesan (Yahya Othman 2005 : 26). Tujuannya adalah supaya mesej yang diterima dapat dimanfaatkan dengan sebaik yang mungkin.  Seterusnya adalah penekanan haruslah diberikan terhadap kemahiran bertutur dalam kurikulum Bahasa Melayu pula digambarkan melalui kemahiran berkomunikasi dan melahirkan idea.
Kemahiran menghasilkan bahasa melalui penulisan adalah dipengaruhi melalui kemahiran berkomunikasi serta melahirkan idea. Hal ini ekoran daripada kemahiran ini mengeluarkan idea serta fikiran dengan mengaplikasikan perbendaharaan kata serta tatabahas yang betul dalam penulisan, bermula dengan proses yang sama dalam pertuturan terlebih dahulu. Jadi, ekoran daripada Mohd Hilmy Haji Ismail (1982 : 69) mementingkan pengajaran serta pembelajaran kemahiran bertutur dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah. Beliau berpendapat pertuturan merupakan asas kepada hampir semua pembelajaran bahasa. Pertuturan mendahului bacaan serta latihan bertulis. Menurutnya lagi, murid-murid seharusnya dapat menyusun fikiran serta idea-idea dalam pertuturannya sebelum ia membuat latihan bertulis. Manakala guru pula perlu melakukan gerak kerja lisan yang sememangnya ada dilakukan oleh guru pada setiap pelajaran bahasa. Namun begitu, masih ada guru yang melangkaui aspek penting ini. 
OBJEKTIF KAJIAN
Kajian yang dijalankan pada tugasan ini ialah mengenai kemahiran mendengar dan bertutur. Terdapat beberapa objektif yang telah ditetapkan oleh pengkaji semasa menjalankan kajian bagi tugasan ini. Antaranya ialah dapat menghuraikan secara kritis mengenai kaedah, fungsi, serta peringkat kemahiran mendengar dan juga bertutur. Seterusnya, objektif kajian ini juga adalah berhasrat supaya pengkaji dapat menghasilkan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang berfokuskan kepada kemahiran lisan. Objektif yang terakhir ialah pengkaji mengharapkan supaya kaedah mendengar dan bertutur dapat diaplikasikan dalam proses P&P.

DEFINISI  KONSEP
Konsep Kemahiran Mendengar
Kemahiran dimaksudkan dengan kecekapan dan kepandaian dalam melakukan sesuatu perkara. Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2009 : 114) menjelaskan mendengar didefinisikan mendengar adalah kemasukan input bahasa atau bukan bahasa melalui alat pendengaran manusia iaitu telinga. Kemasukan input bahasa yang berupa penyerapan makna ayat serta ujaran seterusnya dilakukan oleh otak untuk diproses. Manakala Tuan Jah Tuan Yusof & Faridah Nazir, PhD (2011: 28) pula menyatakan kemahiran mendengar adalah keupayaan murid mendengar secara teliti, memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan dan dapat memberikan maklum balas.
Dewan Bahasa & Pustaka (1994) pula menerangkan kemahiran mendengar ialah satu proses yang melibatkan dua peringkat kemahiran iaitu menerima dan membezakan bunyi-bunyi bahasa yang hampir sama serta memahami bunyi bahasa yang bermakna misalnya perkataan, frasa, klausa dan ayat.
Konsep Kemahiran Bertutur
Bertutur merupakan satu kegiatan melafazkan bunyi-bunyi yang dilahirkan daripada alat sebutan (artikulator) manusia. Ia merupakan kemahiran berinteraksi dalam suasana berbahasa.  Selain itu, bertutur juga ditakrifkan dengan satu cara berkomunikasi yang amat kompleks, melibatkan proses mental yang menggerakkan alat pertuturan untuk mengeluarkan bunyi bahasa yang bermakna.
            Terdapat beberapa konsep umum mengenai bertutur ialah bertutur merupakan keupayaan manusia mengujarkan kata-kata. Bertutur melibatkan individu berkata-kata atau bercakap. Bertutur juga bermaksud penutur menzahirkan pendapat serta perasaan melalui bunyi bahasa yang bermakna. Bertutur juga dirujuk sebagai aktiviti melafazkan kata-kata untuk tujuan berinteraksi.
KAEDAH KAJIAN
Bagi menyiapkan tugasan ini, pengkaji telah menggunakan beberapa kaedah kajian. Antara kaedah tersebut ialah kaedah kepustakaan, kaedah ini merangkumi rujukan yang dibuat melalui jurnal, buku-buku dan juga laman sesawang. Di samping itu, pengkaji turut menggunakan kaedah pemerhatian. Pemerhatian yang dilakukan terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan dalam subjek Bahasa Melayu.
BATASAN KAJIAN
Kajian pada kerja khusus ini terdiri daripada lima bahagian utama. Kelima-lima bahagian tersebut terdiri daripada kaedah, fungsi dan peringkat kemahiran lisan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Selain itu, kerja khusus ini juga merangkumi bahagian penyediaan satu pengajaran harian yang mengandungi kaedah serta aktiviti pengajaran Bahasa Melayu dalam kemahiran mendengar dan bertutur. Bahagian yang ketiga yang terdapat dalam kerja khusus ini ialah  pengkaji dikehendaki mengaplikasikan kaedah dan aktiviti kemahiran mendengar dan bertutur daripada aspek penggabungjalinan dalam satu pengajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah. Seterusnya, bina bahan bantu mengajar yang sesuai dengan aktiviti pengajaran berdasarkan rancangan pengajaran harian seterusnya diaplikasikan. Manakala bahagian yang terakhir dalam kerja khusus ini ialah pengkaji membuat rakaman sesi pengajaran dalam bentuk cakera padat.


KEMAHIRAN BERTUTUR DAN MENDENGAR. 
Pengenalan
Berdasarkan dengan matlamat kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah matlamatnya adalah untuk melengkapkan diri murid dengan ketrampilan berbahasa serta berkomunikasi bagi memenuhi keperluan diri, memperoleh ilmu, perhubungan sosial, dan juga dalam urusan harian. Hal ini menunjukkan bahawasanya kemahiran penggunaan Bahasa Melayu adalah penting dalam kalangan murid-murid.
            Mengikut rujukan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah (1983), penekanan adalah diberikan terhadap kemahiran bahasa seperti kemahiran mendengar dan juga bertutur, kemahiran membaca serta menulis. Jadi, murid bolehlah menggunakan kemahiran ini dalam mata pelajaran Bahasa Melayu secara berkesan dalam kehidupan seharian serta sebagai bahasa ilmu untuk pembelajaran seumur hidup. Dalam sukatan pelajaran ini merangkumi pertimbangan terhadap pelbagai gaya pembelajaran, minat, kecerdasan yang berbeza dalam kalangan murid. Sukatan pelajaran turut memberi gambaran yang menyeluruh mengenai kurikulum Bahasa Melayu.
Terdapat lima belas prinsip yang perlu dipatuhi bagi menjamin keberkesanan pengajaran Bahasa Melayu, (Raminah Haji Sabran dan Rahim  Syam (1987 :39)).Berdasarkan prinsip yang dinyatakan tersebut  penekanan diberikan terhadap pengajaran lisan iaitu kemahiran mendengar dan bertutur. Pengajaran lisan perlu diutamakan terlebih dahulu kemudian barulah disusuli dengan pengajaran lain seperti membaca dan juga menulis. Lisan merupakan asas kepada kemahiran kepada kemahiran membaca dan juga menulis kerana di dalamnya merangkumi semua aspek bahasa seperti bunyi, perkataan, rangkai kata, ayat, makna, intonasi, dan lain-lain yang terdapat juga dalam kemahiran bacaan dan tulisan. Ini bererti apabila seseorang itumenguasai kemahiran lisan, individu tersebut boleh memindahkan kemahiran tersebut bagi memudahkannya menguasai kemahiran membaca dan menulis.
            Kepentingan kemahiran mendengar serta bertutur diberi penekanan dalam kurikulum terkini yang akan digunakan mulai tahun 2011 iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kemahiran mendengar dan bertutur ini dinyatakan melalui aspek komunikasi yang perlu diterapkan dalam kalangan murid-murid iaitu penggabungjalinan kemahiran bahasa secara lisan dan juga bukan lisan ketika berinteraksi.  Hal ini jelas telah dinyatakan dalam dua medium KSSR iaitu Standard Kandungan Bahasa Melayu iaitu mendengar, memahami serta memberi respon terhadap sesuatu arahan, soalan serta pesanan yang didengar dengan betul. ,medium yang kedua pula ialah Standard Pembelajaran Bahasa Melayu iaitu mendengar, memahami dan memberi respons yang betul secara lisan terhadap soalan yang pelbagai.
Kaedah Penguasaan Kemahiran Bertutur dan Mendengar.

Kaedah didefinisikan sebagai prosedur-prosedur mengajar yang wujud berdasarkan kebolehan pendekatan pengajaran bahasa yang digunakan oleh guru. Dari segi pendekatan pengajaran bahasa yang digunakan ialah berlandaskan teori linguistik dan juga psikologi. Manakala pengertian bagi kaedah penguasaan kemahiran bertutur dan mendengar ialah prosedur mengajar berdasarkan kebolehan pendekatan pengajaran bahasa yang digunakan oleh guru untuk menguasai kemahiran bertutur dan mendengar. Melalui prosedur-prosedur ini, penguasaan terhadap kemahiran mendengar dan bertutur dapat dikuasai selaras dengan objektif Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah.
Guru haruslah menguasai kaedah yang tepat bagi menjalankan pengajaran dan pembelajaran yang baik serta berkesan. Tuan Jah Tuan Yusof & Faridah Nazir (2011: 52) menyatakan kaedah beerti prosedur-prosedur mengajar yang wujud hasil daripada pendekatan pengajaran bahasa yang digunakan oleh guru. Pendekatan pengajaran bahasa ini diaplikasikan mengikut teori linguistik serta psikologi. Jadi, sesuatu kaedah yang digunakan tersebut tidak boleh terpesong daripada pendekatan. Kaedah adalah prosedur yang merangkumi langkah-langkah serta peringkat yang teratur yang harus diikuti bagi mencapai sesuatu tujuan.
            Terdapat beberapa kaedah yang digunakan dalam pengajaran Bahasa Melayu dan diaplikasikan semasa menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Secara umumnya, terdapat tujuh kaedah yang lazimnya digunakan dalam pengajaran Bahasa Melayu misalnya kaedah nahu terjemahan (tradisional), kaedah bacaan, kaedah terus, kaedah fonetik/linguistik, kaedah eklektik, kaedah audio-lingual dan juga kaedah komunikatif. Namun begitu, bagi pengajaran kemahiran mendengar dan bertutur hanya beberapa kaedah sahaja yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Siti Hajar (1999) pula mencadangkan kaedah lain untuk digunakan bagi kemahiran ini iaitu dengan menggunakan kaedah situasi dalam pengajaran. Namun begitu, huraian mengenai kaedah yang sepatutnya digunakan oleh guru tidak dihuraikan secara terperinci.
            Setelah dikaji secara terperinci hanya terdapat lima sahaja kaedah yang boleh digunakan daripada tujuh kaedah pengajaran Bahasa Melayu. Kelima-lima kaedah ini sesuai digunakan bagi kemahiran mendengar dan juga bertutur. Kaedah-kaedah tersebut ialah kaedah terus, kaedah fonetik/linguistik, kaedah eklektik, kaedah audio-lingual serta kaedah komunikatif.
Kaedah Terus.
Tuan Jah Yusof Ph D (2011 : 95) menjelaskan kaedah ini mula diperkenalkan oleh Michell West dan Harald Palmer pada tahun 1920-1935. Kaedah ini dikatakan sama dengan kaedah tentera kerana pernah digunakan untuk melatih tentera serta diplomat dalam Perang Dunia Kedua. Tegasnya, dalam Perang Dunia Kedua, ketika askar memerlukan kemahiran dalam beberapa bahasa perlu dicapai dalam masa yang singkat. Kemahiran bahasa yang diperlukan untuk masa yang singkat. Tentera pelatih dikehendaki mencapai peringkat kemahiran bahasa yang sama dengan penutur bahasa ibunda sama ada dalam sebutan mahupun dalam bidang memahami bahasa itu. Kemahiran menulis bukanlah satu matlamat yang penting. Ekoran daripada masa dipengaruhi oleh peperangan yang sentiasa mendesak jadi masa belajar diperuntukkan sehingga enam hingga sembilan jam sehari. Oleh seab itulah adakalanya kaedah ini dikenali ‘Kaedah Askar’.

            Secara amnya, kaedah terus merujuk kepada pengajaran serta pembelajaran bagi menguasai bahasa pertama secara natural. Abdul Aziz Abdul Talib. (1993  : 53) menyatakan kaedah ini juga bermaksud belajar secara terus iaitu menggunakan terus bahasa sasaran tanpa terjemahan ke dalam bahasa ibunda. Kemahiran mendengar dan bertutur kerana perkataan yang diujarkan diaplikasikan hari-hari. Hal ini selari dengan objektif Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah yang bermatlamat agar murid-murid dapat mendengar serta memahami pengucapan dengan teliti dan menghayatinya dalam konteks perbualan harian serta situasi formal.
            Melalui kaedah ini, beberapa cara digunakan untuk menerangkan misalnya untuk menyatakan sesuatu perkataan konkrit seperti almari, jadi perkataan almari tersebut diajar dengan menunjukkan objek almari tersebut. Namun begitu berbeza pula dari segi perkataan abstrak pula, contohnya perkataan cinta diterangkan dengan menggunakan perkataan yang mudah serta diketahui oleh murid-murid. Selanjutnya, pengajaran yang baharu adalah berdasarkan sesuatu topik yang lain telah diajarkan namun ada.
perkaitan dengan topik baharu tersebut. Antara contoh yang oleh diambil untuk mengajar ayat yang terdiri daripada kata nama + kata kerja + kata nama sepatutnya berdasarkan ayat yang telah diajarkan sebelum ini. Misalnya ayat yang sebelum diajar ialah saya makan kemudian diajar kepada ayat yang baru menjadi saya makan nasi.
            Kaedah terus ini memberi penekanan terhadap kemahiran bahasa terutamanya kemahiran mendengar dan bertutur dan bukanlah pengetahuan mengenai bahasa. Jadi, guru yang mengajar dan menggunakan kaedah ini haruslah benar-benar menguasai bahasa yang diajarkan supaya boleh dijadikan garis panduan kepada murid-murid. Kaedah ini merupakan satu kaedah yang terkenal bagi kemahiran mendengar dan juga bertutur iaitu pengajaran lisan. Hal ini ekoran daripada murid-murid menggunakan terus bahasa yang diajarkan tanpa sebarang terjemahan. Jadi kesalahan yang berpunca daripada gangguan bahasa ibunda dapat dikurangkan kerana murid-murid telah dilatih dengan cara berfikir dan bertutur secara terus dalam bahasa sasaran.

Kaedah Fonetik/Linguistik. 
Kamarudin Hj Husin. (1995 : 103) menerangkan bahawa kaedah linguistik atau dikenali sebagai kaedah fonetik merupakan satu kaedah mengajar bahasa moden secara saintifik. Cara saintifik yang dimaksudkan di sini ialah dengan cara membandingkan antara dua bahasa itu iaitu antara bahasa yang dipelajari dengan bahasa yang telah diketahui oleh murid-murid sama ada bahasa tersebut merupakan bahasa ibunda mereka ataupun bahasa-bahasa yang lain. Pengetahuan murid-murid sepatutnya berfokus kepada bentuk, dan fungsi bahasa tersebut selain daripada aspek-aspek lain misalnya bunyi, susuk ayat, makna dan lain-lain. Dalam erti kata lain, kaedah ini begitu menekankan pertuturan serta membenarkan penggunaan bahasa yang telah diketahui oleh murid-murid.
Di samping itu juga, kaedah ini juga lebih mendahulukan bentuk daripada makna. Kaedah ini melibatkan pemilihan bunyi-bunyi terhadap bunyi-bunyi yang sama dalam kedua-dua bahasa tersebut. Ini bermakna pengetahuan fonetik adalah sangat penting. Manakala dari segi pemilihan bentuk-bentuk ayat pula, pengajaran guru haruslah berdasarkan kepada bahasa-bahasa yang terdapat dalam bahasa ibunda mereka terlebih dahulu. Seterusnya bentuk-bentuk ayat yang berlainan atau tiada dalam bahasa ibunda mereka dipilih. Sebagai contoh :




Subjek
Perbuatan
Objek
i)             Dia
She
Berjalan
Walk
ke sekolah
to school
ii)            Saya
   I
Makan
Eat
nasi lemak
nasi lemak

Dari segi pemilihan perkataan pula, kaedah ini lebih mendahulukan perkataan-perkataan yang serupa ataupun hampir-hampir sama bunyi daripada kedua-dua bahasa tersebut. Misalnya perkataan-perkataan dalam bahasa Inggeris yang hampir-hampir sama dengan perkataan bahasa Melayu seperti berikut :
Bahasa Melayu
Bahasa Inggeris
Kopi
Coffee
Radio
Radio
Komputer
Computer

Objektif utama mengajar menggunakan kaedah linguistik ini adalah bagi membolehkan murid-murid menggunakan bahasa yang telah diketahuinya bagi mempelajari bahasa baharu dari segi bunyi. Kaedah ini turut menerangkan mengenai nahu yang terdapat dalam tatabahasa yang telah dipelajari dengan bahasa yang diketahui. Berdasarkan salah satu Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah telah menerangkan salah satu objektifnya iaitu menggunakan bahasa baku yang melibatkan penggunaan tatabahasa, ejaan, kosa kata, serta sebutan dan intonasi.
yang betul dalam aktiviti mendengar dan juga bertutur. Jadi, apa yang ditekankan dalam kaedah ini dengan menerangkan nahu yang terdapat dalam tatabahasa yang telah dipelajari dalam bahasa yang diketahui  tersebut adalah sama landasannya dengan Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah.

            Kaedah ini juga dikatakan amat bersesuaian untuk mengajar kemahiran mendengar dan bertutur. Hal ini disebabkan kaedah ini turut dikenali sebagai kaedah lisan atau kaedah reform serta berkait rapat dengan kaedah terus. Pengajaran ini dimulakan dengan latihan pendengaran serta diikuti dengan latihan penyebutan.

            Ayat-ayat yang dibina berdasarkan kaedah ini kemudiannya digabungkan menjadi dialog serta cerita. Kaedah ini tidak menggunakan ejaan biasa akan tetapi menggunakan simbol-simbol fonetik contohnya [ â‚”ma? ] bagi perkataan emak. Nahu atau tatabahasa biasanya diajarkan secara induktif, iaitu contoh-contoh penggunaan tatabahasa itu dikemukakan kepada murid-murid sebelum peraturan serta rumus-rumus tatabahasa tersebut diajarkan. Selanjutnya, melalui kaedah ini juga murid-murid akan menulis karangan berdasarkan apa yang didengar atau dibaca. Antara kelebihan kaedah linguistik ini ialah penyediaan bahan adalah tersusun dan tersusun serta teratur. Ini membolehkan kanak-kanak faham dengan lebih jelas apa serta tepat. Kanak-kanak turut dapat bertutur serta membina ayat mengikut bentuk-bentuk ayat bahasa yang ada dalam bahasa ibunda mereka.

            Manakala kelemahan bagi kaedah ini pula ialah peraturan bahasa yang sentiasa berubah-ubah menyukarkan murid-murid untuk membaca. Hal ini disebabkan bahan bacaan kebanyakannya ditulis adalah dalam bahasa tulisan. Kaedah ini turut memerlukan guru-guru yang terlatih serta mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang ini  untuk mengajar tentunya memerlukan perbelanjaan serta kos yang tinggi. Jadi hasilnya, murid boleh bertutur akan tetapi tidak dapat memperkembang ba hasatersebut dengan baik. Secara rumusnya, kaedah ini bukan boleh diajar oleh sebarangan guru kerana kaedah ini memerlukan guru-guru yang terlatih dalam ilmu bahasa, ilmu pengajaran serta pendidikan. Kaedah ini juga memerlukan masa yang lama serta belanja yang banyak. Kesannya, murid-murid hanya dapat menuturkan apa yang diajarkan sahaja.
Kaedah Eklektik.
Kaedah eklektik amat bersesuaian dengan pengajaran kemahiran mendengar dan juga bertutur. Kaedah eklektik merupakan satu kaedah yang menggabungkan segala ciri yang baik dalam pengajaran bahsa yang terdapat dalam kaedah-kaedah lain. Kaedah yang digabung contohnya ialah kaedah nahu dan kaedah terjemahan yang telahpun diubah suai mengikut situasi pengajaran. Guru menggunakan daya usaha serta daya kreativiti mereka sendiri. Mereka juga turut bebas mengajar mengikut kebolehan serta kemampuan kanak-kanak.
            Pada dasarnya, kaedah ini turut dikenali sebagai kaedah aktif. Hal ini ekoran daripada gabungan ciri-ciri yang baik daripada pelbagai kaedah lain yang dimilikinya. Mengikut kaedah eklektik ini, kemahiran-kemahiran bahasa diajarkan mengikut susunan iaitu bertutur, menulis, memahami dan juga membaca. Kaedah ini juga lebih bersifat fleksibel. Ini kerana guru boleh mengubah kaedah pengajarannya mengikut keperluan murid-murid. Dari aspek tatabahasa pula diajarkan mengikut situasi. Situasi yang dimaksudkan di sini ialah sama ada secara deduktif  ataupun induktif. Aktiviti pengajaran serta pembelajaran ini merangkumi latihan mendengar dan bertutur (lisan), membaca kuat serta bersoal jawab.
            (Kamarudin Hj Husin, 1988: 98), tujuan bagi kaedah eklektik ini adalah sama seperti kaedah terus iaitu membolehkan murid-murid menguasai keempat-empat kemahiran bahasa itu serta boleh menggunakan bahasa itu dengan baik. Cara mengajar bagi kaedah ini ialah guru dapat mengelakkan pengajaran kurang tepat serta tidak jelas dengan memberikan penjelasan dalam bahasa ibunda murid-murid. Selain itu, guru perlu menggunakan pola-pola struktur untuk melatih tubi struktur ayat murid. Manakala kebaikan bagi kaedah ini ialah guru-guru akan menggunakan teknik-teknik yang paling baik daripada kaedah pengajaran di sekolah. Kaedah ini turut mempertimbangan keempat-empat kemahiran bahasa iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta memberi keutamaan kepada bahasa lisan terlebih dahulu.
Kaedah Audio-Lingual
Kaedah asas Audio-lingual mula berkembang di Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Kedua. Pada peringkat permulaan, pengajaran bahasa yang menggunakan kaedah ini bertujuan untuk ketenteraan iaitu satu program pembelajaran bahasa bagi tentera-tentera yang akan dihantar ke negara-negara luar. Di Universiti Michigan, Charles Fries, iaitu seorang ahli Linguistik Struktural telah menolak Kaedah Terus (Direct Method). Beliau mengatakan bahawa bahasa harus diajar secara sistematik dengan menumpukan kepada cara sebutan dan latih tubi secara lisan (Ricards dan Rogers, 1986). Audio lingual kemudiannya mula diperkenalkan sekitar tahun 1950-an dan ia menjadi bertambah penting apabila berlaku perkembangan dalam pembelajaran bahasa asing di Amerika Syarikat.
Mengikut sejarah pengenalan serta perkembangannya, kaedah audio-lingual adalah lebih sesuai serta praktikal digunakan dalam pengajaran bahasa kedua. Dalam konteks pendidikan hari ini, kaedah ini amat berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran lisan yang melibatkan aspek mendengar dan juga bertutur. Pengajaran dan pembelajaran lisan adalah kemahiran asas berbahasa yang seharusnya dikuasai dahulu oleh pelajar sebelum mereka dapat belajar membaca dan menulis dengan sempurna. Jadi, kaedah audio-lingual merupakan satu alternatif dalam pengajaran lisan kerana bersandarkan prinsip mendengar dan bertutur diajar terlebih dahulu kemudian barulah kemahiran membaca dan menulis. 
Kaedah ini merupakan gabungan daripada dua kemahiran iaitu kemahiran mendengar (audio) dan juga kemahiran bertutur (lingual). Jadi, kaedah ini amat sesuai untuk menjalankan aktiviti kemahiran mendengar dan juga bertutur (lisan). Kaedah ini turut mementingkan penggunaan bahan bantu belajar berupa alat-alat seperti audio seperti radio, pita rakaman, compact disk (audio), dan juga piring hitam. Bahan-bahan yang diperdengarkan kepada murid-murid adalah seperti petikan bunyi haiwan, bunyi sesuatu suasana contohnya suasana seram, senikata lagu, nyanyian, petikan, berita, syair dan lain-lain lagi. Oleh itu, kaedah audio lingual yang dijalankan ini adalah bertepatan dengan sukatan pelajaran yang telah mencadangkan beberapa kemahiran kecil dalam kemahiran lisan iaitu mendengar dan menyebut bunyi. Dalam kemahiran ini, murid-murid dapat mengenal, membeza, megajuk bunyi yang diperdengar di samping mengecam serta menunjuk arah datangnya bunyi tersebut. Jadi apabila aedah audio lingual ini dilaksanakan, secara ansur maju kemahiran yang dinyatakan tersebut akan terus berkembang ke peringkat yang seterusnya dan lebih baik.
            Sebagaimana yang diketahui, kaedah audio-lingual ini menggunakan bahan bantu mengajar seperti rakaman berita daripada radio. Apabila kaedah ini digunakan terhadap murid-murid sebagai salah satu aktiviti pengajaran, murid diajar memahami serta menghayati apa yang terkandung dalam berita tersebut kemudian murid tersebut dapat menerangkan semula apa yang difahami berdasarkan berita yang didengari tersebut. Apabila murid dapat menguasai kaedah ini, secara tidak langsung murid dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh yang boleh diambil ialah apabila murid tersebut mendengar berita di radio atau televisyen murid dapat memahami serta memahami dengan jelas apa yang terdapat dalam berita tersebut dan dapat memberitahu orang di sekelilingnya mengenai berita yag didengarinya itu. Ini menunjukkan kaedah audio-lingual ini memenuhi matlamat yang terkandung dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah. Matlamat tersebut adalah mendengar serta memahami pengucapan dengan teliti serta menghayatinya dalam konteks perbualan harian serta situasi formal.
Kaedah ini juga akan melatih murid-murid menyebut perkataan, frasa, ayat yang didengar termasuklah nada serta intonasinya secara latih tubi.  Kemudian, murid akan dilatih mendeklamasikan sajak dengan rakan secara berpasangan ataupun secara berkumpulan. Melalui kaedah audio lingual ini, murid-murid akan lebih mengingati apa yang didengar. Selain itu, ingatan murid juga dapat diperkukuh dengan cara mendengar semula apa yag dirakam serta berbincang dengan rakan-rakan. Selain itu, murid-murid juga akan mudah mempelajari bunyi-bunyi linguistik yang berbeza serta nada dan intonasi bahan yang diperdengarkan.
Kaedah Komunikatif
(Hymes,1971) menyatakan kaedah komunikatif terbina berdasarkan teori huraian bahasa fungsian serta teori kecekapan komunikatif manakala teori pembelajarannya pula berpandukan kepada teori interaksi (Cromer 1976; Schlesinger 1977). Kaedah ini amat menekankan proses pemerolehan bahasa kanak-kanak yang mengaitkan kognitif serta interaksi bahasa. Jadi, kaedah komunikatif ini menitikberatkan pengajaran kecekapan bahasa iaitu bahasa dan kecekapan komunikatif terutamanya kemahiran lisan iaitu kemahiran mendengar dan bertutur. Semasa murid-murid menjalani proses pemerolehan bahasa, mereka menguasai makna terlebih dahulu kemudian disusuli dengan menggambarkan makna tersebut dalam struktur ayat tertentu.
            Latihan daripada guru-guru terhadap murid-murid dalam menguasai kemahiran mendengar dan bertutur melalui aktiviti bahasa yang bermakna amatlah diperlukan. Hal ini penting dalam proses menggambarkan makna dalam struktur ayat tertentu tersebut. Sehubungan dengan itu, aktiviti-aktiviti bahasa yang bermakna dalam kaedah komunikatif merupakan jalan penyelesaian masalah, perbincangan, dialog, sumbang saran, wawancara dan sebagainya.
Sebagaimana yang dijelaskan dalam kaedah ini, guru-guru memberikan penekanan terhadap murid-murid agar menguasai kemahiran mendengar dan bertutur melalui aktiviti bahasa. Aktiviti bahasa yang sering dilakukan ialah menyelesaikan masalah. Hal ini selaras dengan objektif Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah yang menjelaskan objektif yang mengkehendakkan murid berbincang serta berkongsi pendapat untuk menyelesaikan masalah, mencapai persetujuan, dan membuat keputusan mengenai sesuatu perkara.
FUNGSI KEMAHIRAN MENDENGAR DAN BERTUTUR
Fungsi Kemahiran Mendengar
Fungsi yang diterangkan di sini boleh didefinisikan sebagai tugas, peranan, kewajiban dan juga peranan (Kamus Dewan, 2008 :153). Manakala definisi bagi fungsi kemahiran mendengar ialah peranan, tugas dan kewajiban dalam kemahiran mendengar. Kemahiran mendengar merupakan salah satu kemahiran yang terdalam kemahiran lisan.Terdapat beberapa fungsi bagi kemahiran mendengar, antaranya ialah :
Dapat menguasai kemahiran lain
Sebagaimana yang kita semua ketahui, kemahiran yang paling penting berbanding kemahiran-kemahiran lain ialah kemahiran mendengar. Untuk menguasai kemahiran lain seperti bertutur, membaca dan juga menulis, individu tersebut perlulah menguasai kemahiran mendengar terlebih dahulu. Apabila individu dapat kuasai apa yang didengar misalnya bunyi-bunyi haiwan dan cara menyebut nama haiwan tersebut secara automatik pada peringkat yang seterusnya individu tersebut dapat mempelajari cara bertutur apa yang didengar dengan betul. Seterusnya, apabila individu tersebut dapat bertutur seterusnya individu tersebut dapat mempelajari kemahiran membaca dan seterusnya ke peringkat menulis.
Dapat berinteraksi dengan orang lain.
Kemahiran bertutur diistilahkan sebagai keiatan melafazkan bunyi-bunyi yang dilahirkan daripada alat-alat sebutan (artikulator) manusia. Ia merupakan kemahiran berinteraksi dalam suasana berbahasa. Ini bermakna apabila individu dapat menguasai kemahiran mendengar, individu tersebut dapat mentafsirkan apa yang didengarnya dan bertindak memberi respon. Sebagai contoh apabila individu ditanya sama dia telah makan ataupun belum, apabila individu tersebut mendengar apa yang diujarkan kepadanya individu tersebut akan mula mentafsir dan memahami apa yang diujarkan kepadanya. Setelah memahami apa yang diujarkan secara tidak langsung individu akan bertindak balas dengan menjawab soalan yang diajukan kepadanya itu. Ini secara tidak langsung berlakunya interaksi antara si pendengar dan juga penutur.
Fungsi Kemahiran Bertutur.
Kemahiran bertutur mempunyai fungsinya yang tersendiri. Jika kita mengetahui fungsi kita bertutur, ia akan sedikit sebanyak akan membantu kita menyusun ujaran kita dengan lebih baik serta memilih laras bahasa yang sesuai digunakan dalam konteks pertuturan tersebut. Secara umumnya terdapat beberapa fungsi dalam kemahiran bertutur antaranya adalah seperti berikut :
Bertutur berperanan untuk memberitahu dan menjelaskan maklumat
Bertutur berperanan untuk memberi maklumat yang dimaksudkan di sini ialah penutur mengujarkan sesuatu untuk menyampaikan sesuatu perkara kepada pendengar. Ini menunjukkan tugas kita sebagai penutur adalah untuk memperjelas maklumat yang hendak kita sampaikan tersebut bermakna dan juga mudah untuk diingati. Bagi mencapai objektif ini, kita perlu mengaplikasikan tiga perkara yang terdapat dalam ujaran bermaklumat. Antara perkara tersebut ialah memberitahu pendengar perkara yang akan perkatakan, ujarkan, atau memaklumkan perkara tersebut serta menyimpulkan perkara yang telah kita perkatakan tersebut. Jadi, melalui objektif.
Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah bermatlamatkan supaya murid berbincang serta berkongsi pendapat untuk menyelesaikan masalah, mencapai persetujuan dan membuat keputusan mengenai sesuatu perkara.
            Jadi, sebagai seorang pendidik, tujuan bertutur adalah amat penting kerana mempunyai perkaitan yang rapat dengan peranan guru itu sendiri sebagai penyampai maklumat serta ilmu pengetahuan terhadap murid-murid. Untuk menyampaikan maklumat secara berkesan, perkara yang perlu dititikberatkan ialah dengan memulakan sesuatu perkara yang dapat menarik perhatian pendengar serta membuatkan mereka hendak terus mendengar. Seterusnya, penutur perlu menyusun isi penting ujaran dengan jelas serta memastikan ia berurutan antara satu sama lain. Selain itu, penutur seharusnya menggunakan bahasa secara natural serta tidak bersifat emotif serta kurangkan penggunaan bahasa yang bersifat terlalu terlalu teknikal dan berbunga-bunga. Penutur juga sepatutnya menggunakan gambar, rajah, carta, poster dan sebagainya untuk membantu bagi menjelaskan maklumat, menarik minat pendengar di samping dapat mengukuhkan isi penting yang disampaikan.
Bertutur berfungsi untuk mempengaruhi
Bertutur berfungsi untuk mempengaruhi membawa pengertian kepada ujaran penutur yang mengkehendaki pendengar mengubah persepsi ataupun fikirannya mengenai sesuatu perkara atau mempengaruhi pendengar mengambil langkah bagi membuat keputusan mengenai sesuatu perkara. Seseorang guru perlulah mempunyai kemahiran mempengaruhi yang tinggi terhadap murid-muridnya terutamanya semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Ini penting kerana untuk mempengaruhi serta mendorong murid untuk terus belajar serta melakukan semua aktiviti yang diarahkan bukan satu tugas yang mudah.

Dua perkara penting yang berkaitan dengan bertutur yang berfungsi untuk mempengaruhi ialah dengan memastikan kehendak serta keperluan pendengar. Hal ini penting untuk memotivasikan pendengar melakukan sesuatu tindakan dan ia perlu disertakan dengan alasan yang munasabah serta menepati keperluan pendengar. Menurut ahli psikologi berpendapat bahawa keperluan manusia terbahagi kepada beberapa kategori. Kategori yang dimaksudkan ialah psikologi, keselamatan, dimiliki dan disayangi, sanjungan kendiri dan juga keupayaan kendiri. Seterusnya, perkara yang kedua yang ditekankan ialah menyediakan hujah yang relevan. Bagi mencapai matlamat bertutur untuk mempengaruhi pendengar terhadap sesuatu , maka penutur terlebih dahulu perlu bersedia dengan pendapat yang relevan. Bagi mengemukakan pendapat yang releven, ia memerlukan kemahiran serta pengalaman. Guru yang berpengalaman biasanya tidak menghadapi masalah dalam memberi hujah, fakta dan alasan untuk mempengaruhi dan memotivasikan murid mereka. Ini menunjukkan kepakaran seseorang guru dalam bidangnya membolehkan mereka memperjelas fakta serta mencadangkan sesuatu yang baik.
Bertutur  menimbulkan keseronokan.
Bertutur untuk menimbulkan keseronokan atau santai merujuk kepada pertuturan menyebabkan pendengar seronok dan terhibur. Fungsi pertuturan untuk menimbulkan keseronokan atau santai adalah tujuan sampingan kepada peranan yang sebenar.  Bertutur dapat beri kelebihan kepada pihak penutur serta pendengar iaitu pendengar berupaya untuk memberi perhatian yang lebih terhadap penutur yang dapat menghiburkan mereka. Melalui pertuturan ini, penutur boleh memperkembangkan imaginasi, kreativiti, pemikiran kritis dan penghayatan, nilai murni melalui aktiviti bertutur sebagaimana yang terkandung dalam HSPBMSR. Berfungsi sebagai alternatif mewujudkan perhubungan
Bagi tujuan sosial, murid haruslah dilatih bertutur melalui fungsi ini. Fungsi ini amat penting dalam kehidupan seharian manusia untuk membantu seseorang tersebut hidup dalam masyarakat dengan selesa serta mesra. Dalam hal ini, penekanan utama adalah diberikan terhadap pengucapan bertatasusila bagi menjamin keharmonian perhubungan serta perpaduan dalam masyarakat. Antara contoh pengucapan yang bertatsusila yang dimaksudkan adalah melahirkan rasa simpati terhadap orang lain. Ini merupakan salah satu objektif yang terdapat dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah yang menjelaskan melalui kemahiran bahasa ini murid akan dapat menghayati serta mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotik dan juga kewarganegaraan. Contoh lain ialah dapat menumpang kejayaan, menunjukkan keprihatinan kepada kebajikan orang lain dan lain-lain lagi.
PERINGKAT KEMAHIRAN MENDENGAR DAN BERTUTUR
Peringkat kemahiran mendengar.
Peringkat secara definisinya ditakrifkan sebagai had yang dicapai dalam sesuatu usaha; susunan mengikut kemajuan yang dicapai; tingkat kemajuan; tahap dan lain-lain (Kamus Pelajar Edisi Kedua : 2008).  Secara umumnya, kemahiran mendengar dalam peringkat penguasaan terdiri daripada tiga tahap. Peringkat penguasaan yang dimaksudkan di sini ialah tahap-tahap kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid-murid sebelum mengamalkannya. Dalam erti kata yang lain, murid-murid perlu menguasai setiap tahap dalam kemahiran mendengar dan juga bertutur sebelum dilabelkan sebagai mahir. Seterusnya, perbincangan mengenai peringkat penguasaan ini dimulakan dengan kemahiran mendengar barulah diikuti dengan peringkat penguasaan kemahiran bertutur.
(Dr. Ali Mahmood, Lokman Abd. Wahid, Mashudi Bahari, 2007 : 40) menjelaskan bahawa peringkat penguasaan kemahiran mendengar meliputi tiga tahap iaitu merangkumi murid-murid yang mempelajarinya serta guru-guru yang mengajar. Secara khususnya, murid-murid perlu menguasai dua peringkat kemahiran mendengar.
Peringkat pertama yang perlu dikuasai ialah menerima serta membezakan bunyi-bunyi bahasa yang hampir sama dengan contohnya.
b - p
bagi dan pagi
d - l
dari dan lari
s - t
beras dan berat
g - k
gali dan kali

Seterusnya ialah peringkat kedua iaitu memahami bunyi bahasa yang bermakna seperti perkataan, frasa, klausa, ayat. Dengan itu, pemahaman mengenai bunyi bahasa adalah dipengaruhi oleh pengetahuan, pengalaman budaya serta sikap murid-murid yang bertindak sebagai pendengar. Jadi untuk memastikan murid-murid memahami bunyi bahasa murid seharusnya mempunyai pengetahuan mengenai sistem bahasa yang didengar. Seterusnya ialah pengetahuan mengenai situasi berlakunya pertuturan yang didengar serta pengetahuan sedia ada seperti fakta serta budaya bahasa yang didengar serta cara bahasa tersebut digunakan.

            Terdapat tiga peringkat kemahiran mendengar berdasarkan perkembangan murid. Pada peringkat yang pertamanya dikenali sebagai peringkat awal. Peringkat ini melibatkan beberapa kemahiran mendengar yang perlu dikuasai oleh murid. Antara kemahiran mendengar tersebut ialah mengecam, mengajuk serta memilih bunyi seperti bunyi binatang. Selain itu, kemahiran-kemahiran mendengar yang lain iaitu mendengar dan mengecam makna perkataan, rangkai kata dan ayat serta melakukan sesuatu yang disuruh. Di samping itu, menjalankan perintah, bertindak balas terhadap soalan-soalan mudah serta mengingat dan memadankan perkataan dan ayat-ayat mudah dengan tepat.
Seterusnya pada peringkat pertengahan pula, kemahiran mendengar yang perlu dikuasai ialah mengecam serta mengingat fakta serta butiran secara tepat dan terperici. Selain itu, murid juga perlu mengenal maklumat khusus, mengesan urutan serta mengenal  sebab dan akibat sesuatu perkara. Di samping itu, pada peringkat ini, kemahiran mendengar yang perlu dikuasai ialah mengenal perhubungan orang-orang yang berinteraksi dan juga mengenal sikap serta perasaan yang bercakap.
            Peringkat yang terakhir iaitu peringkat ketiga,peringkat maju yang melibatkan tujuh kemahiran mendengar. Kemahiran pertama ialah mengenal isi-isi penting. Ini perlu bagi mengetahui apa yang tersirat apa yang didengari. Seterusnya, kemahiran mengetahui peranan dan perhubungan orang yang bercakap serta kemahiran memberitahu fungsi tekanan dan intonasi. Kemahiran lain pada peringkat ini juga ialah mentafsir maksud orang yang bercakap, mengikut aliran dalam dialog atau perbualan serta mencari jalan mengatasi masalah yang didengar. Kemahiran terakhir yang perlu dikuasai dalam peringkat maju iaitu mentafsir tujuan penutur menggunakan pelbagai bentuk struktur tatabahasa.

            Peringkat penguasaan kemahiran mendengar juga melibatkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah dan guru perlu merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran supaya berjalan dengan lancar. Terdapat tiga peringkat dalam perancangan pengajaran dan pembelajaran iaitu peringkat pra mendengar, peringkat semasa mendengar dan peringkat selepas mendengar. Terdapat empat aktiviti dalam peringkat pra mendengar seperti memberi tugasan atau soalan kepada murid sebelum mereka mula mendengar. Guru memberi gambaran yang menyeluruh atau penerangan yang ringkas mengenai apa yang hendak diperdengarkan. Aktiviti arahan yang jelas mengenai tugasan serta memastikan bahan rangsangan dalam keadaan baik serta mencukupi untuk digunakan dalam aktiviti serta memastikan murid bersedia untuk menjalankan aktiviti.
            Aktiviti bagi peringkat semasa mendengar pula ialah memastikan murid menumpukan sepenuh perhatian terhadap bahan rangsangan dan juga mengatasi sebarang gangguan atau masalah yang timbul secepat mungkin ketika aktiviti dijalankan. Pada peringkat terakhir aktiviti yang boleh dijalankan ialah memberi jawapan terhadap masalah yang dihadapi oleh murid mengenai bahan rakaman yang didengar dan memberi penekanan kepada aspek-aspek penting dalam bahan rakaman. Seterusnya, memastikan murid menyempurnakan tugasan dan membuat pengukuhan serta menjalankan aktiviti tindakan susulan yang bersesuaian dengan aktiviti yang telah dijalankan.


PERINGKAT PENGUASAAN KEMAHIRAN BERTUTUR
Penguasaan kemahiran bertutur dalam kalangan murid berlaku dalam tiga peringkat iaitu peringkat, peringkat pertengahan dan juga peringkat maju. (Dr. Ali Mahmood, Lokman Abd. Wahid, Mashudi Bahari, 2007:44) menjelaskan setiap peringkat penguasaan melibatkan kemahiran berlainan yang dikuasai oleh murid-murid.
            Peringkat awal penguasaan kemahiran bertutur, murid perlu menguasai sembilan kemahiran. Antara kemahiran yang perlu dikuasai ialah melafazkan pengucapan bertatasusila, mengajuk perkataan serta ayat-ayat yang didengar dan menyoal untuk mendapatkan maklumat. Seterusnya membuat teguran atau kenyataan mengenai sesuatu situasi, mengemukakan soalan-soalan mudah berdasarkan situasi tertentu. Kemahiran selanjutnya yang  perlu dikuasai ialah dengan mengemukakan soalan-soalan mudah berdasarkan situasi yang tertentu,dapat bertindak terhadap soalan-soalan mudah.
            Pada peringkat pertengahan pula, murid perlu menguasai sepuluh kemahiran yang terdiri daripada kemahiran melakukan deskripsi mengenai objek atau gambar, bercerita berdasarkan satu siri gambar atau gambar bersiri, mendeskripsikan pengalaman atau sesuatu peristiwa serta memberi satu siri arahan untuk melakukan sesuatu. Kemahiran seterusnya yang perlu dikuasai ialah membaca iklan dan peraturan, memberi ucapan pendek dan mudah, menyoal dan menjawab soalan berkaitan peribadi seseorang , suasana persekolahan, persekitaran, suasana di rumah dan sebagainya. Di samping itu, kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid pada peringkat ini juga ialah mengambil bahagian dalam perbualan mudah serta dapat membuat ulasan, memberi pendapat atau pandangan secara mudah.

Pada peringkat yang terakhir iaitu peringkat maju pula dua belas kemahiran yang perlu mereka kuasai. Kemahiran-kemahiran tersebut adalah dapat mendeskripsikan sesuatu peristiwa, objek, permainan, proses dan sebagainya. Peringkat maju ini, murid seharusnya dapat bercerita dengan menggunakan alat pandang atau tanpa menggunakannya. Mengambil bahagian dalam perbincangan, perbualan ataupun dialog serta bertanya untuk mendapatkan maklumat juga merupakan antara kemahiran yang biasanya dikuasai pada peringkat maju ini.
Kemahiran seterusnya ialah kemahiran menghuraikan proses, kejadian, prosedur dan peraturan, memberitahu arah atau hala sesuatu tempat serta memberi ceramah atau syarahan juga adalah salah satu daripada kemahirannya. Selanjutnya, murid mengambil bahagian dalam perbahasan, diskusi, forum, perbincangan, seminar, dan sebagainya serta mengambil bahagian dalam drama atau lakonan juga antara kemahiran peringkat maju. Peringkat maju ini turut menekankan kemahiran menyampaikan komen, laporan atau ulasan serta mengkritik cerpen, pendapat, puisi, novel dan sebagainya.







PENYEDIAAN PENGAJARAN HARIAN YANG MENGANDUNGI KAEDAH DAN AKTIVITI PENGAJARAN BAHASA MELAYU DALAM KEMAHIRAN MENDENGAR DAN BERTUTUR.


Tarikh                       :  12 November 2011.
Masa                          :  7.40 – 8.40 ( 60 minit )
Tahun                                    :  5 Dahlia.
Bilangan Murid       :  35 orang.

Tema                                      :  Cerita Binatang dan Pahlawan.
Tajuk Pelajaran        :  " Sang kancil Dengan Buaya "

Objektif Eksplisit:

Pada akhir pelajaran murid dapat :

i.              Menyenarai dan menyusun lima isi penting mengikut urutan cerita yang terdapat dalam bahan bacaan yang telah dibaca.
ii.            Menceritakan semula cerita yang telah didengar.
iii.           Membaca tiga daripada lima ayat tunggal yang dicatatkan dipapan tulis dengan sebutan dan intonasi yang betul.
        
Fokus Utama:

10.1         Menghasilkan pelbagai genre (prosa/puisi) termasuk e-mel yang mudah,
                  Menarik dan bermakna.
Aras 1   : Mengenal pasti isi daripada pelbagai sumber berdasarkan tajuk.

Fokus Sampingan :

2.1           Bercerita menggunakan kata, frasa, ayat serta sebutan dan intonasi yang
                baik dan jelas
Aras 2   : Bercerita berdasarkan bahan yang dibaca dan peristiwa yang dialami
                menggunakan pelbagai jenis pola ayat.

5.1           Membaca kuat perkataan dan ayat dengan sebutan dan intonasi yang
                betul dan memahami apa yang dibaca.
Aras 1 (i) : Membaca perkataan, frasa dan ayat yang mengandung ayat tunggal dan
                ayat majmuk dengan sebutan dan intonasi yang betul.

Pengetahuan Sedia Ada : Murid telah biasa mendengar dan membaca cerita-cerita binatang daripada pelbagai sumber
Sistem Bahasa :
i. Tatabahasa : ayat tunggal.
ii. Kosa kata : tekad, juara.

Pengisian Kurikulum :
i. Ilmu : Sains dan Matematik.
Ii Nilai murni : hormat-menghormati, kesederhanaan.

Kemahiran Bernilai Tambah :
i. Kemahiran berfikir : membanding dan membeza.
ii. Belajar cara belajar : mengumpul maklumat.
iii. Teori Kecerdasan Pelbagai : verbal linguistik, interpersonal, muzik dan kinestetik.
iv. KMD : strategi mengatasi cabaran.

Isi Pelajaran :
i.   Cerita Sang Kancil Dengan  Buaya.
ii.  Ayat tunggal.
iii. Kosa kata.

Bahan Bantu Mengajar :
i. Kad teka-teki.
ii. Gambar bersiri.
iii. Pita rakaman.
iv. Kad ayat.
v. Topeng.
vi. Carta bacaan dan
vii. Carta
Langkah &
Masa
Isi Pelajaran
Aktiviti Pengajaran
Dan Pembelajaran
Catatan

Set Induksi
(5 minit)

Guru menunjukkan gambar sang kancil dan buaya
Murid meneka tajuk cerita .
Iaitu cerita Sang Kancil dan
Sang Buaya.

Guru menunjukkan gambar sang kancil dan buaya
Murid meneka tajuk cerita berdasarkan gambar yang ditunjukkan.



Kad gambar

Langkah 1
( 10 minit )

Murid melihat cerita Sang Kancil dan Buaya.


Guru menunjukkan rakaman cerita Sang Kancil dan Buaya.
Murid melihat tayangan tsebut.
Guru mengedarkan petikan cerita Sang Kancil dan Buaya.
Guru membimbing murid membaca dengan sebutan dan intonasi yang betul.

Guru membimbing murid menceritakan semula cerita yang telah dibaca dengan menggunakan pelbagai ayat.

- CD Sang Kancil dan Buaya.
.
- Carta bacaan.

- Nilai murni:
Hormat-
Menghormati,
Kesederhanaan
- Penilaian HP 5.1,
Aras 1(ii) dan
HP 2.1, Aras 2 (i).


Langkah 2
( 10 minit )

Petikan cerita Sang Kancil dan Buaya.
 Soalan Guru:

1. Siapakah yang paling cerdik berdasarkan cerita ini?
2. Bagaimanakah Sang Kancil menipu Buaya?

3. Bagaimanakah startegi Sang Kancil untuk menyeberangi sungai itu.


Guru bersoaljawab mengenai isi cerita dan menerapkan nilai murni.

 Guru membimbing murid mencari dan menyusun
isi-isi penting cerita yang telah dibaca.


Carta bacaan.

- Nilai murni:
Hormat menghormati.

- KMD:
Strategi mengatasi

Langkah 3
( 10 minit )

Membanding dan membeza
sifat-sifat Sang kancil dan Buaya.

Guru membimbing murid membanding dan membeza sifat Sang Kancil dan Buaya  secara kumpulan dengan menggunakan boring pengurusan grafik.
- Ketua kumpulan melaporkan hasil perbincangan mereka.

- Kemahiran berfikir:
Membanding Membeza.

- Alat berfikir: Borang
Pengurusan Grafik

- Penyerapan ilmu: Sains.

- Kemahiran interpersonal.
- Kemahiran mengumpul
maklumat.


Langkah 4
( 10 minit )

 Penyerapan Tatabahasa
(Ayat Tunggal)

 memberi erti kosa kata:
tekad dan juara.

Guru membimbing murid membaca ayat tunggal
yang disediakan pada kad ayat.

Guru membimbing murid mencari ayat tunggal
yang terdapat dalam carta bacaan.

Guru membimbing murid membina ayat tunggal
sendiri.

Guru membimbing murid untuk memberi erti
kosa kata yang disediakan.


Kad ayat.
Carta bacaan.

TKP:
verbal-linguistik


Langkah 5
( 10 minit )

Latihan:

Kumpulan A:
Menyenarai dan menyusun
mengikut urutan lima isi penting daripada petikan.

Kumpulan B:
Menyenarai dan menyusun
mengikut urutan tiga isi penting daripada petikan.
Memadan empat isi penting
dengan gambar bersiri.


Guru meminta murid membuat tugasan mengikut
kumpulan masing-masing.

Guru membimbing murid membuat tugasan
mengikut kumpulan.

Penilaian:
HP 10.1, Aras 1 (i).

Pengayaan :
Guru meminta murid membanding dan membeza antara cerita "Sang Kancil dan Buaya" dengan cerita "Kancil dan Buaya" dengan menggunakan borang pengurusan grafik.

Pemulihan :
Murid menceritakan semula cerita "Sang Kancil Dan Buaya".


Penutup
( 5 minit )

 Lagu "Sang Kancil dan     
           Buaya.”
- Rumusan isi pelajaran.
- Penerapan nilai murni.

Guru membimbing murid menyanyi lagu "Sang Kancil Dan Buaya" dengan diiringi muzik dan disertai dengan gerak tangan dan badan.

Guru membimbing murid merumuskan isi pelajaran dan menerapkan nilai murni yang terdapat dalam cerita tersebut.

Topeng Sang Kancil dan Buaya.

Nilai murni:
hormat menghormati.

TKP:
muzik dan
kinestetik.


0 ulasan:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.